Sunday, 6 December 2015

Person-Centered Therapy @ Terapi Pemusatan Insan

Person-Centered Therapy
Carl Rogers (1902-1987)

Terapi ini juga dikenali sebagai Terapi Pemusatan Persorangan. Saya mendapati bahawa kesemua empat aspek kemanusiaan iaitu (1) Menerima klien tanpa syarat (2) menunjukkan sikap empati (3) Kaunselor kongruen atau selaras dengan pelakuannya dan (4) Hubungan teraputik antara kaunselor dan klien adalah penting digunakan dalam sesi kaunseling. Keempat-empat aspek inilah yang menjadi sandaran kepada sesiapa kaunselor yang menggunakan terapi ini kerana ia melihat bagaimana klien itu diterima sebagai manusia yang boleh berfungsi sepenuhnya. Hal ini kerana saya juga bersetuju dengan pandangan Rogers bahawa manusia ini pada asasnya adalah baik, positif, sentiasa menuju kesempurnaan kendiri dan boleh dipercayai. Oleh itu, manusia atau klien dapat dibantu dengan rasa diterima tanpa syarat oleh individu di sekelilingnya, diberikan kasih sayang, dihormati, dan kemesraan untuk membentuk kendiri yang sihat.
            Berdasarkan kefahaman saya mengenai terapi ini, Rogers percaya bahawa kaunseling yang berkesan bukan untuk menyelesaikan masalah klien tetapi untuk membimbing klien dalam proses pertumbuhan diri agar klien dapat menyelesaikan masalah mereka pada masa akan datang. Hal ini bermaksud bahawa kaunselor hanya perlu fokus kepada keunikan klien dan juga mengalakkan klien meneroka diri sendiri dan berubah dari seorang yang rigid dan tersekat kepada seorang yang lebih terbuka.

            Pada pandangan saya, teori atau terapi Rogers yang bersifat kemanusiaan ini perlu diadaptasi keatas semua amalan teori yang lain. Ini bermaksud kaunselor yang menggunakan terapi yang mementingkan kemanusiaan perlu menggunakan keempat-empat aspek yang ditekankan oleh Rogers walaupun mereka menggunakan pendekatan teori yang lain. Hal ini kerana empat aspek yang dibincangkan tadi merupakan asas bagi seorang kaunselor dalam melakukan hubungan teraputik yang berkesan dengan klien. Saya juga sependapat dengan Rogers bahawa setiap manusia perlu diberikan motivasi dan kefahaman untuk menganalisis dan memahami diri sendiri dalam proses untuk membentuk potensi diri yang sebenar. Walau bagaimanapun, terdapat juga klien yang memerlukan pendekatan yang berbeza bagi situasi yang berbeza. Oleh itu, kaunselor perlu bijak dalam menyesuaikan masalah yang dihadapi oleh klien dengan penggunaan terapi yang sesuai.

Credit to: Gerlad Corey
Book: Theory and Practice of Counseling and Psychotherapy

Aneste Buoloi
Kaunselor


                                                                              ^_^ With Love

No comments:

Post a Comment