Sunday, 6 December 2015

Behavior Therapy @ Terapi Tingkah laku

Behavior Therapy
B.F. Skinner (1904-1990) & Albert Bandura (1925)


Terapi tingkahlaku merupakan salah satu terapi yang menarik dan jelas dari segi perincian teknik dan matlamat teraputik. Terapi ini juga menekankan tentang perubahan tingkahlaku yang bermasalah kepada tingkahlaku yang boleh digunakan untuk mengubah keadaan seperti yang diingini. Pandangan tentang manusia dalam terapi ini hampir sama dengan terapi kewujudan dimana ia menekankan tentang manusia adalah penyumbang kepada masalah mereka sendiri dan mereka perlu melakukan perubahan diri sendiri sekiranya mereka ingin bebas dari permasalahan. Walau bagaimanapun, terapi ini sangat menekankan tentang tingkahlaku yang menjadi penyebab kepada masalah.
            Apa yang menarik tentang terapi ini adalah penyusunan dan perincian yang sistematik terhadap setiap teknik. Hal ini menyebabkan kaunselor mudah untuk melakukan intervensi kepada klien berdasarkan isu yang dibawa oleh klien tersebut terutamanya yang melibatkan tingkahlaku. Matlamat setiap teknik pula adalah jelas dan mudah untuk difahami berdasarkan pengunaan model ABC: A-Pencetus peristiwa, B- Tingkahlaku, dan C- Akibat. Kaunselor dengan jelasnya boleh memilih jalan penyelesaian dengan mudah berdasarkan model tersebut. Istemewanya, terdapat pelbagai teknik yang boleh diaplikasikan dan ianya mudah untuk difahami bukan sahaja kepada kaunselor malah kepada klien juga.
            Saya berpendapat bahawa terapi tingkahlaku ini bukan sahaja mudah difahami secara teori malah telah diuji secara emperikal dan ianya membuktikan bahawa konsep teknik dan prosedur terapi ini berkesan. Setiap teknik juga mempunyai matlamat yang tersendiri dan ianya memudahkan kaunselor dalam menyesuaikan isu klien.
            Limitasi teknik ini pada pendapat saya sendiri ialah kaunselor atau terapis perlu memahami dengan mendalam setiap teknik yang ada dalam terapi ini. Hal ini kerana sekiranya terapis gagal menyesuaikan isu dan teknik dalam rawatan maka klien yang akan mendapat kesan negatif. Selain itu, komitmen yang jelas perlu ada pada kedua-dua pilah sama ada terapis atau pun klien itu sendiri. Ianya memerlukan kerjasama kolaboratif yang kuat untuk memastikan teknik yang digunakan berjaya. Walau bagaimanapun, berbanding terapi-terapi yang sudah dibincangkan, saya lebih tertarik dengan terapi ini dari segi pendekatan tekniknya.

Credit to: Gerlad Corey
Book: Theory and Practice of Counseling and Psychotherapy

Aneste Buoloi
Kaunselor


                                                                          ^_^ With Love

            

Gestalt Therapy @ Terapi Gestalt

Gestalt Therapy
Frederik Solomon Perls (1893-1970)


Terapi ini agak menarik minat saya kerana ia memberi penekanan terhadap kepentingan masa hadapan. Dalam terapi ini, klien diajak untuk memandang terus ke hadapan dan meningalkan segala beban-beban masalah yang dibawa dari masa lalu. Pada masa yang sama, Perls juga memandang kepentingan konsep masalah yang belum selesai atau unfinished business yang menyebabkan klien tersekat untuk terus maju kehadapan. Oleh itu, klien perlu dibantu untuk melepaskan segala blok-blok (perkara–perkara negatif) yang menyekat tenaga untuk terus memandang kearah yang lebih positif.
            Matlamat terapi ini adalah jelas dimana ianya bertujuan untuk mewujudkan kesedaran yang tinggi dalam diri individu kepada realiti dunia yang bersifat di sini dan sekarang atau here and now. Bagi saya, terapi ini sangat membantu dalam menangani isu klien yang berkaitan dengan pengalaman masa lalu atau individu yang bermasalah akibat daripada perasaan bersalah. Dengan menggunakan intervensi terapi Gestalt yang pelbagai, klien sangat berpotensi untuk keluar daripada belengu rasa bersalah dan seterusnya boleh maju kehadapan dalam kehidupan mereka. hal ini kerana, manusia dikatakan mengalami konflik kerana terdapat perkara yang belum selesai. Selain daripada berhadapan dengan isu masa lalu, klien yang berhadapan dengan isu yang perhubungan juga adalah sesuai dengan terapi ini. Disebapkan kepelbagaian penggunaan intervensi terapi ini, saya berminat untuk mendalami dan memahami terapi ini dalam menghadapi persediaan menerima isu klien yang pelbagai.
            Terapi ini juga menekankan tentang penerokaan hidup klien yuang akhirnya membawa klien kepada pertumbuhan dan kematangan diri. Walau bagaimanapun, kaunselor atau terapis yang menggunakan terapi ini perlulah mempunyai pengetahuan yang luas dan bijak memilih intervensi yang sesuai dengan isu klien. Selain itu, kaunselor perlulah mempunyai perancangan yang strategik kerana intervensi terapi ini kebanyakannya bersifat dramatik seperti teknik kerusi kosong. Secara keseluruhannya, terapi ini agak menarik dan berbaloi untuk dipelajari dengan mendalam.

Credit to: Gerlad Corey
Book: Theory and Practice of Counseling and Psychotherapy

Aneste Buoloi
Kaunselor


                                                                        ^_^ With Love


Existential Therapy @ Terapi Kewujudan

Existential Therapy
Viktor Frankl (1905-1997) & Rollo May (1909-1994)

Terapi kewujudan menekankan tentang andaian bahawa manusia adalah bebas tetapi mempunyai tanggungjawab terhadap pilihan dan tindakan sendiri. Kandungan asas bagi teori ini juga menganggap bahawa manusia bukanlah mangsa kepada keadaan melainkan individu merupakan apa yang individu tersebut pilih. Melalui pembelajaran terapi ini, saya dapat melihat bahawa matlamat terapi ini adalah untuk mengalakkan klien untuk melakukan refleksi diri dalam kehidupan dan sedar  bahawa mereka (klien) mempunyai pilihan alternatif yang boleh dipilih. Proses inilah yang menjadikan klien sedar akan tanggungjawab mereka untuk memilih dan mula membentuk kehidupan mereka sendiri.  
            Secara jujurnya, inilah pertama kalinya saya melihat dan memahami apakah sebenarnya terapi kewujudan ini. Oleh itu, melalui pembelajaran hari ini, saya mendapati bahawa teori ini sememangnya memberikan peluang kepada saya untuk melakukan refleksi diri sendiri dan pilihan-pilihan yang telah saya lakukan. Saya sangat tertarik dengan matlamat terapi ini dimana menekankan tentang penerimaan atas apa yang sudah berlaku sebagai pengajaran dan melihat bahawa hidup ini penuh dengan pilihan. Sekiranya saya menggunakan konsep matlamat ini dalam hubungan teraputik dengan klien maka saya dapat menjangka bahawa klien akan merasa celik akal tenntang tanggungjawab atas pilihan yang dipilih sama ada pilihan tersebut dikesali atau tidak. Hal ini akan dapat membantu dalam proses mengatasi kebingungan dan kebimbangan klien.
            Walau bagaimanapun, peranan kaunselor dalam menggunakan pendekatan terapi ini agak mencabar dan memerlukan keberanian. Kaunselor perlu pandai untuk mencabar dan mendorong klien yang sukar membuat pilihan dan susah untuk menyedari bahawa dia mempunyai kuasa untuk memilih. Kaunselor juga perlu membimbing klien untuk mencari makna tentang kehidupan dan melawan kebimbangan hidup. Selain itu, terapi ini agak sukar dilaksanakan memandangkan ianya tidak mempunyai teknik khusus yang diperincikan. Ianya memerlukan kebijaksanaan kaunselor secara keseluruhannya dalam membawa klien untuk peka terhadap kehidupan semula jadi manusia. Matlamatnya jelas tetapi pelaksanaan terapi ini agak sukar kerana tidak mempunyai teknik dan konsep khas.

Credit to: Gerlad Corey
Book: Theory and Practice of Counseling and Psychotherapy

Aneste Buoloi
Kaunselor


                                                                        ^_^ With Love


Adlerian Therapy @ Terapi Adlerian

Adlerian Therapy
Alfred Adler (1870-1937)

Terapi Adlerian lebih menekankan kepada tiga konsep iaitu (1) Persepsi yang subjektif terhadap realiti (2) corak dan kesatuan personaliti manusia , dan (3) Urutan kelahiran dan hubungan adik-beradik. Berdasarkan pengalaman Adler sendiri, beliau telah mengasaskan teori ini sebagai salah satu pendekatan kepada klien yang menganggap diri mereka bermasalah. Walau bagaimanapun, Adler tidak menganggap klien sebagai seorang yang bermasalah tetapi seorang yang mampu mencapai celik akal dan dapat menghasilkan matlamat hidup.
            Saya tertarik dengan konsep Adler berkenaan dengan urutan adik-beradik dimana beliau menjelaskan pembentukan personaliti seseorang berdasarkan kedudukan individu di dalam keluargga dengan adik-beradiknya. Saya bersetuju dengan beliau bahawa urutan kelahiran sangat mempengaruhi gaya hidup seseorang. Semenjak mengetahui kewujudan teori yang menjelaskan tentang urutan kelahiran, saya mula menganalisis secara luaran sikap dan gaya hidup seseorang yang saya kenali latar belakangnya berdasarkan urutan kelahiran mereka dan saya mendapati bahawa teori Adler berkenaan urutan kelahiran ini tepat dalam pandangan saya. Oleh itu, saya berpendapat bahawa saya boleh menggunakan konsep Adler untuk melihat klien dalam sesi hubungan teraputik. Walau bagaimanapun, urutan kelahiran bukannya sesuatu yang tekal. Hal ini kerana individu juga dipengaruhi oleh hubungan sosial individu dengan orang lain untuk membina gaya hidup. Maka itu, saya tidaklah mengambil seratus-peratus teori ini sebagai pegangan saya sebagai seorang kaunselor.

            Selain itu, saya juga berpendapat bahawa pelaksanaan atau aplikasi teknik dan prosedur teraputik terapi ini sedikit sebanyak membantu klien untuk menghasilkan kehidupan yang lebih bermanfaat dengan interaksi sosial mereka. Hal ini kerana saya melihat matlamat terapi ini lebih bersifat kemasyarakatan seperti membantu klien menunjukkan minat sosial, mengalakkan klien mengenalpasti kesamaan semua manusia, dan membantu klien dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat. Teori ini juga dapat membantu klien yang mempunyai isu berkenaan dengan perhubungan dengan orang lain. Secara keseluruhannya, saya mungkin menggunakan konsep terapi Adler ini dalam sesetengah kes sahaja memandangkan Adler kurang memberikan penekanan dalam setiap teknik beliau yang mengakibatkan penggunaan teori dalam sesetengah kes adalah terhad.

Credit to: Gerlad Corey
Book: Theory and Practice of Counseling and Psychotherapy

Aneste Buoloi
Kaunselor


                                                                       ^_^ With Love

Psychoanalytic Therapy @ Terapi Psikoanalitik

Psychoanalytic Therapy
Sigmund Freud (1856-1939)


Freud menekankan bahawa tingkahlaku manusia ditentukan oleh kepercayaan yang tidak rasional, motivasi di luar sedar, dan juga desakan biologikal seawal enam tahun. Kesemua desakan ini wujud daripada tiga sistem yang membentuk personaliti manusia iaitu id, ego dan superego. Konsep pembentukan personaliti ini kurang menarik minat saya. Saya lebih berminat atau bersetuju dengan konsep sistem mekanisma hela bela diri. Pelbagai mekanisma hela bela diri manusia yang telah dinyatakan dalam terapi ini adalah bertujuan untuk menerangkan bahawa manusia  cenderung untuk mengatasi kebimbangan dan ego. Saya bersetuju kerana saya melihat bahawa fitrah manusia sememangnya bertepatan dengan konsep sistem hela bela diri ini. Dengan itu, ianya boleh diguna pakai untuk melihat kecenderungan klien menggunakan sistem ini dan mengenalpasti apakah masalah sebenar klien.
            Aplikasi teknik dan prosedur teraputik terapi ini berbeza dengan terapi yang lainnya iaitu teknik analisis mimpi. Freud berpendapat bahawa analisis mimpi sangat penting untuk merungkai tahap tidak sedar manusia dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah yang tersembunyi. Saya berpendapat bahawa teknik analisis mimpi ini perlu dipelajari dengan lebih mendalam dan terperinci lagi kerana kemungkinan kaunselor akan berjumpa dengan klien yang mengalami masalah mimpi yang menganggu kehidupan klien. Hal ini kerana saya sendiri merupakan salah seorang yang obses dengan mimpi memandangkan saya sering mengalami mimpi yang mana ianya memberikan makna (mimpi yang benar-benar  terjadi) dalam kehidupan realiti saya.

            Idea asas yang telah saya pelajari dalam terapi Freud ini ialah tahap tidak sedar manusia yang melampau mengakibatkan manusia bertingkahlaku di luar kawalan. Oleh itu, hanya dengan menggunakan teknik teraputik Freud dapat membantu klien keluar dari tahap tidak sedar tersebut. Wlau bagaimanapun. saya berpendapat bahawa teknik teraputik yang diasaskan oleh Freud adalah rumit dan sukar dilaksanakan sekiranya tidak dipelajari dengan lebih mendalam. Hal ini bermaksud peranan kaunselor sangat rumit berbanding menggunakan terapi lain dan memerlukan komitmen yang besar untuk pelaksanaan terapi ini. 

Credit to: Gerlad Corey
Book: Theory and Practice of Counseling and Psychotherapy

Aneste Buoloi
Kaunselor


                                                                     ^_^ With Love

Person-Centered Therapy @ Terapi Pemusatan Insan

Person-Centered Therapy
Carl Rogers (1902-1987)

Terapi ini juga dikenali sebagai Terapi Pemusatan Persorangan. Saya mendapati bahawa kesemua empat aspek kemanusiaan iaitu (1) Menerima klien tanpa syarat (2) menunjukkan sikap empati (3) Kaunselor kongruen atau selaras dengan pelakuannya dan (4) Hubungan teraputik antara kaunselor dan klien adalah penting digunakan dalam sesi kaunseling. Keempat-empat aspek inilah yang menjadi sandaran kepada sesiapa kaunselor yang menggunakan terapi ini kerana ia melihat bagaimana klien itu diterima sebagai manusia yang boleh berfungsi sepenuhnya. Hal ini kerana saya juga bersetuju dengan pandangan Rogers bahawa manusia ini pada asasnya adalah baik, positif, sentiasa menuju kesempurnaan kendiri dan boleh dipercayai. Oleh itu, manusia atau klien dapat dibantu dengan rasa diterima tanpa syarat oleh individu di sekelilingnya, diberikan kasih sayang, dihormati, dan kemesraan untuk membentuk kendiri yang sihat.
            Berdasarkan kefahaman saya mengenai terapi ini, Rogers percaya bahawa kaunseling yang berkesan bukan untuk menyelesaikan masalah klien tetapi untuk membimbing klien dalam proses pertumbuhan diri agar klien dapat menyelesaikan masalah mereka pada masa akan datang. Hal ini bermaksud bahawa kaunselor hanya perlu fokus kepada keunikan klien dan juga mengalakkan klien meneroka diri sendiri dan berubah dari seorang yang rigid dan tersekat kepada seorang yang lebih terbuka.

            Pada pandangan saya, teori atau terapi Rogers yang bersifat kemanusiaan ini perlu diadaptasi keatas semua amalan teori yang lain. Ini bermaksud kaunselor yang menggunakan terapi yang mementingkan kemanusiaan perlu menggunakan keempat-empat aspek yang ditekankan oleh Rogers walaupun mereka menggunakan pendekatan teori yang lain. Hal ini kerana empat aspek yang dibincangkan tadi merupakan asas bagi seorang kaunselor dalam melakukan hubungan teraputik yang berkesan dengan klien. Saya juga sependapat dengan Rogers bahawa setiap manusia perlu diberikan motivasi dan kefahaman untuk menganalisis dan memahami diri sendiri dalam proses untuk membentuk potensi diri yang sebenar. Walau bagaimanapun, terdapat juga klien yang memerlukan pendekatan yang berbeza bagi situasi yang berbeza. Oleh itu, kaunselor perlu bijak dalam menyesuaikan masalah yang dihadapi oleh klien dengan penggunaan terapi yang sesuai.

Credit to: Gerlad Corey
Book: Theory and Practice of Counseling and Psychotherapy

Aneste Buoloi
Kaunselor


                                                                              ^_^ With Love