Saturday, 8 June 2013

True Story 2....so true...




Cahaya!

Ya, itulah satu perkataan yang telah datang ke dalam mindaku sebentar tadi semasa mandi. Aku memutuskan untuk duduk di meja ini dan membuka computer ribaku untuk terus mencatatkan apa yang aku sedang fikirkan sekarang. Aku amat pasti sekiranya aku tidak terus duduk dan berteleku disini untuk mula mencatat, akhirnya aku akan lupa apa yang sedang berada di dalam fikiranku sekarang. Aku harus menaipnya. Entah. Aku pun tak tahu apa sebabnya.



Cahaya dari segi apapun aku senang merasakannya. Aku tidak suka akan kegelapan dan cahaya yang muram. Sebaliknya, aku mencintai terang cahaya yang menyinar di pagi hari. Sementara aku dapat menikmati udara segar pada pagi hari, aku juga ingin merasakan kehangatan suria pagi yang sedikit membakar kulitku.



Sesuatu yang sering aku lakukan ialah bagun dari katilku lantas menuju ke jendela. Cermin tingkap akan aku selak seluas-luasnya dan membiarkan angin lembut menampar mukaku. Aku senang sekali. Merasakan nikmat udara bersih membuatku segar bugar di pagi hari lantas membuang perasaan malasku. Aku akan melihat hutan hijau di belakang kolejku.  mendengar burung-burung bernyanyi. 



Aku akan mula mengingati keadaan hutan buah-buahan atau dusun di belakang rumahku di kampung sebelum ianya sekarang menjadi gondol. Cahaya pagi menyinari pagiku dan aku akan tersenyum lebar. Adakalanya aku akan menyanyi keriangan membuatkan teman sebilikku turut tersenyum melihat mood baikku pagi itu.



Aku masih ingat lagi pada awal semester 1 aku berada di Universiti Malaysia Sabah. Ketika itu, aku masih belum mempunyai hubungan yang rapat dengan salah seorang teman sebilikku. Seperti rutinku selalunya di kampung yang aku bawa sehingga hari ini, aku akan membuka jendela luas-luas sehingga cahaya matahari menyinari bilik seawal pagi yang pada ketika itu teman sebilikku masih terbaring enak di katil masing-masing. Pada awalnya, aku tidak menyedari ketidak selesaan dia ketika aku melakukan rutinku itu. Pada waktu itu, dia akan malas-malas membuka mata dan mendengus kecil lantas mengubah posisi tidur. Aku hanya mengira dia telah melalui mimpi ngeri pagi itu.



Namun, ketika hubungan kami bertambah rapat, dia kemudiannya menegur perbuataan ku itu. Dia mengatakan bahawa dia tidak senang menerima cahaya di waktu pagi apatah lagi sewaktu dia masih lena diulit mimpi. Aku merasa hairan dan tertanya-tanya. Kehangatan matahari pagi tidak pun mengenai kulit dan tempat perbaringan mereka. Yang ada cuma cahaya matahari yang meliau mencuri-curi masuk untuk menerangi bilik kami. Aku lantas ketawa dan dia tersenyum malu kerana sering bangun lewat dan tidak suka bangun pagi. Teman-teman sebilikku yang lainnya ( dua orang lagi) tidak kisah dengan rutinku itu kerana mereka juga bangun seawal pagi malah lebih awal dariku. Ternayta melalui pengalaman ini, aku dapat mengetahu bahawa ada juga segelintir manusia yang tidak suka akan sinaran pagi hari yang sangat mengembirakan dan menyenangkan bagiku. Manusia memang berbeza.

Aku bangga untuk sering memberitahu teman-teman rapatku mengenai waktu hari kelahiranku (kepada mereka yang bertanya) di klinik. Ibuku masih ingat detik bersejarah ketika melahirkan aku. Aku telah disambut oleh seorang nurse yang memang telah mengenali ibuku setelah, entah berapa kali ibuku pernah melahirkan kakak dan abang-abangku di klinik tersebut. Ketika suara tangisanku kedengaran di bilik yang kecil itu, nurse itu mengatakan “seorang bayi perempuan yang sihat. Aku pasti dia akan kelihatan cantik apabila besar nanti kerana dia lahir sewaktu cahaya matahari mula menyinar terang”.

Aku tidak pasti adakah waktu kelahiranku yang bercahaya itu telah membuatku senang dan seronok menikmati cahaya pagi dan menyukai cahaya di mana pun aku berada. Aku tidak pasti yang itu.



Lagu gereja ‘Oh Tuhan pimpinlah langkahku’. Aku sangat senang menyanyikannya.

Oh Tuhan pimpinlah langkahku
Ku tak brani jalan sendiri
Serta-Mu itulah doaku
Ajarku merendahkan diri
Menurut firman-Mu stiap hari
Jadikan pelita dalam kegelapan
Mencari domba yang sesat
Itulah kerinduan Jiwamu



Firman itu pelita bagi jalanku yang gelap. Bantulah aku ya Bapa agar aku sentiasa berpaut pada tanganmu setiap masa. Jangan biarkan aku tersadung dan jatuh dalam kegelapan dan kekelaman akibat dari dosaku. Pimpinlah aku ke jalan yang lurus dan benar.
Biar cahaya kemuliann-Mu sentiasa menerangi aku.

Amen!

( 1 Mac 2013)



with Love ^_^

No comments:

Post a Comment